Friday, April 5, 2013

Mata Kasar , Mata Nafsu , Mata Iman


Bayangkan tatkala kita sedang merenung wajah seorang tua yang sudah berkedut, kudrat yang sudah uzur memberikan perspektif yang berbeza pada mata yang melihat. Ianya boleh dilihat dengan mata kasar, mata nafsu atau mata iman.
MATA KASAR
Apabila kita sekadar melihat dengan mata kasar, tidak akan memberi makna apa-apa sekadar melihat sambil berlalu.
MATA NAFSU
Apabila kita sekadar melihat dengan mata nafsu, kita akan terfikir untuk tidak mahu menjadi tua seperti itu. Tidak mahu berkedut, tidak mahu sakit dan jikalau boleh mahu kekal muda buat selama-lamanya. Lalu pelbagai cara digunakan untuk menegangkan kulit muka seperti botox, cucuk vitamin c , pembedahan plastik dan sebagainya.
Pelbagai ubat-ubatan digunakan kononnya untuk mengekalkan keremajaan kulit. Segala produk kecantikan dan ubat-ubatan untuk melambatkan penuaan akan dicuba dan dimakan. Bagi mereka yang pernah melihat cerita-cerita kuno dinasti cina, pasti teringat tentang kisah dimana seorang raja yang mempunyai ubat yang boleh menjadikannya hidup selama-lamanya dan menjadi rebutan semua orang.
MATA IMAN
Apabila kita melihat mereka dengan mata iman, kita akan melihat wajah-wajah tua dan kusam, penuh dengan kedut di muka dengan kudrat yang sudah uzur akan memberikan keinsafan di hati insan yang melihat dengan mata iman.
Melihat wajah-wajah tua akan menyebabkan kita menangis. Menangis bukan kerana takutnya menjadi tua. Menangis kerana sedar dan insaf bahawa apa yang ada di dunia ini semuanya tiada yang kekal abadi. Semuanya adalah sementara. Kecantikan akan hilang, kekuatan akan hilang, kekayaan akan ditinggalkan, kuasa dan pangkat akan ditinggalkan, muda akan tua. Lalu apakah yang lebih utama di dalam kehidupan sementara di muka bumi ini?
Mata iman akan menjawab ialah mencari keredhaan Allah dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Kerana apa? Kerana apa yang dijanjikan Allah iaitu hari akhirat yang kekal abadi adalah pasti. Syurga dan neraka adalah pasti. Jika tiada cukup bekalan yang baik yang dibawa dari hidup yang sementara ini, balasan neraka adalah pasti dan kekal abadi... nauzubillah... apakah gunanya melebih-lebihkan kehidupan dunia yang sementara daripada kehidupan akhirat yang abadi?
Bukanlah bermakna melebihkan akhirat dengan meninggalkan seluruh urusan di dunia dan hanya duduk di tikar sejadah semata-mata. Lalu, bagaimanakah cara kita boleh mencapai kejayaan di alam yang kekal abadi itu?
Apa yang patut kita buat semasa kehidupan yang sementara di dunia ini?
Jawapannya semua ada di dalam al-Quran, iaitu:
  • Jika dia seorang anak, dia akan menjadi anak yang terbaik, yang sentiasa membahagiakan hati kedua ibu bapanya. Tidak lupa sentiasa berdoa untuk ibubapa samada ibubapa masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.
  • Jika dia seorang ibu/ayah, dia akan cuba menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anaknya dengan mendidik mereka tentang ilmu, mendidik anak menjadi anak soleh dan solehah. Melaksanakan tanggungjawab sebagai ibubapa tanpa rasa keluh kesah. Memasak, menjaga rumahtangga dengan hati yang ikhlas dan tenang.
  • Jika dia seorang suami, dia tidak akan berlaku zalim kepada isterinya dan mendidik isterinya dengan baik dan penuh kasih sayang. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan cara yang terbaik.
  • Jika dia seorang isteri, dia akan menjadi seorang isteri yang terbaik untuk suami yang tercinta, taat dan menghormati suami. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan cara yang terbaik.
  • Jika dia seorang pekerja, dia akan berusaha untuk melakukan yang terbaik di dalam usaha kerjanya tanpa seberang kebencian dan rasa tidak puas hati kepada orang atasan.
  • Jika dia seorang kawan, dia akan selalu bercakap bersopan dengan kawan-kawannya tanpa cuba menyakiti hati kawan, tidak akan menabur fitnah dan mengumpat kawannya tanpa jemu. Dia akan menegur rakannya jika rakannya menyimpang dari jalan yang benar. Hasratnya adalah supaya dia dan rakannya akan bersama-sama terselamat daripada seksaan neraka di alam yang kekal abadi.
  • Dan yang paling UTAMA, dia akan menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur, mengharapkan rahmat dan kasih sayang daripada Allah Yang Maha Esa dengan melakukan ibadah yang diperintahkan oleh Allah dengan rasa khusyuk, ikhlas kerana apa yang paling penting dalam hidup insan ini adalah mendapat kasih sayang, rahmat dan redha daripada Allah. 
  • Sesungguhnya tanpa rahmat dan kasih sayang daripada Tuhan Yang Maha Esa sesungguhnya jadilah kita tergolong dalam hamba-hamba yang rugi. Setiap perlakuannya sentiasa merasa diperhatikan oleh Allah dan dengan itu merasa takut untuk melakukan dosa. Mementingkan Allah daripada segala-galanya. Tidak culas untuk bersolat di awal waktu, bersolat sunat, berqiamulail dan sebagainya.
Namun, memang sifatnya manusia kekadang terlupa dan terdengar pujukan dan rayuan nafsu dan syaitan. Jika sudah tersedar dari kesilapan, maka beristighfarlah kepada yang Maha Esa untuk mengampuni dosa-dosa kita. InsyaAllah, jika kita memohon ampun dengan hati yang tulus ikhlas, Allah yang pengasih dan penyayang akan mengampuni dosa-dosa kita.
Rasullah s.a.w. yang maksum pun beristighfar paling kurang 100 kali sehari; jadi kita sepatutnya lebih kerap lagi beristighfar. Jika kita lalai dari beristighafar dan memohon ampun daripada Yang Maha Esa, hati kita yang berbuat dosa akan dipenuhi dengan titik-titik hitam. Jika titik hitam sudah memenuhi hati kita, hati kita menjadi buta.
Hati yang buta teramat bahaya kerana sinar kebaikan dan sinar hidayah akan susah menembusi hati tersebut. Akibatnya, jika orang mengajak kita membuat kebaikan, memberi nasihat, hati kita akan mencemuh dan membenci perkara kebaikan lagi.
  • Dunia ini sementara adalah pasti.
  • Hidup kita di dunia sudah pasti akan mati.
  • Akhirat itu pasti.
  • Syurga dan neraka itu pasti.
Lalu adakah kita mengambil langkah yang sepatutnya untuk perkara yang pasti itu? Renung-renungkan.

Wednesday, January 23, 2013

Menyelusuri Kisah Nabi Muhammad S.A.W.

Di sebalik kesibukan  berbagai urusan harian yang tidak pernah habis marilah kita mencari sedikit masa untuk melihat sejenak sejarah kelahiran  manusia unggul yang diutuskan oleh Allah sebagai rahmatan lil ‘alamin. Sejarah seorang  Nabi dan penutup segala Rasul iaitu Nabi Muhammad saw. Marilah kita mengenalinya dengan lebih dekat melalui sirah kelahiran baginda,  sekali gus kita menghirup aroma keindahan sirah itu untuk menyegarkan perjuangan kita yang masih panjang ini.
Bermula sirah harum baginda dengan perkahwinan antara Abdullah bin Abdul Mutalib dengan seorang wanita terhormat dari kalangan Quraisy, Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf. Namun  takdir telah mendahului segalanya, Abdullah bin Abdul Mutalib telah kembali ke Rahmatullah sebelum sempat menimbang cahaya mata yang sedang dikandung oleh isteri tercinta.
Akhirnya Aminah melahirkan Muhammad tanpa seorang yang bernama suami di sisi. Muhammad saw telah dilahirkan di rumah bapa saudara sebelah bapanya iaitu Abu Thalib, dilingkungan Bani Hasyim dekat Shafa di Mekah Al Mukarramah pada hari Isnin, 12 Rabiul Awwal bersamaan  tahun 571 M  yang dikenali dengan tahun gajah, di mana ketika itu Abrahah Al Habsyi telah menyerang Mekah dari arah Yaman untuk menghancurkan Kaabah. Sesungguhnya keputeraan baginda telah berlaku pada 1442 tahun yang lalu,  masih kita kenang sehingga ke hari ini.
Abdul Muthalib , datuk Baginda menerima berita kelahiran cucunya dengan penuh rasa gembira. Boleh jadi beliau melihat kedatangan cucunya itu sebagai ganti kepada anaknya yang dirampas maut ketika masih muda.  Datuk baginda telah membawanya ke Ka’abah dan memberi nama “Muhammad” kepada cucundanya. Nama tersebut cukup asing di kalangan masyarakat Mekah pada waktu itu.
Rasulullah saw telah dilahirkan dari satu kabilah paling terhormat antara kabilah-kabilah Arab lainnya.  Baginda pernah bersabda mengenai dirinya :
“ Allah telah memilih kinanah sebagai keturunan Ismail, lalu dari Kinanah Dia memilih Quraisy, kemudian dari Quraisy dia memilih bani Hasyim , dan dari bani Hasyim Dia memilihku. “ (HR Muslim)
Bapa baginda saw, ialah Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luay bin ghalib bin Quraisy bin Malik bin Nadhir bin kinanah bin Khzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nazar bin Ma’ad bin ‘Adnan.  Nasabnya terus berlanjutan sampai kepada Nabi Ismail bin Ibrahim. Semput juga nafas kita nak menyebut nasab baginda saw.  Berapa ramai di kalangan kita yang boleh menyebutkannya dengan lancar?
Mari pula kita lihat salasilah keturunan ibunda Baginda saw, beliau adalah Aminah binti Wahhab bin Abdul Manaf bin zahrah bin Kilab bin Murrah.  Nasabnya bertemu dengan ayahnya pada Kilab bin Murrah ( nenda kelima dari ayahnya dan keempat dari pihak ibunya ). Seharusnya kita mengingati susur galur keturunan baginda ini, kerana kecintaan kita kepada baginda.  Kecintaan kita kepada baginda seharusnya melebihi dari diri kita sendiri.
Bidan yang membantu menyambut kelahiran Nabi saw adalah Syifa’, bonda kepada Abdur Rahman bin Auf.  Sementara Suwaibah,  jariah kepada bapa saudaranya Abu Lahab adalah merupakan ibu susuan baginda yang pertama.  Pengasuh baginda pula ialah Ummu Aiman,  jariah kepada  ayah baginda , Abdullah bin Abdul Muthalib.
Tradisi bangsawan Arab pada ketika itu menghantar anak ke pedalaman demi mencari udara dan suasana yang lebih baik bagi anak-anak mereka.  Lantaran itu Rasulullah saw telah dihantar kepada Halimatus Sa’diyah untuk disusukan. Ketika berusia 4 tahun Nabi saw telah dikembalikan semula kepangkuan ibundanya.  Seterusnya pada usia 6 tahun Aminah,  ibunda baginda meninggal dunia, lalu baginda diasuh oleh Datuk baginda,  Abdul Muthalib. Dalam keadaan yatim piatu, baru sempat 2 tahun bermanja dengan datuknya, Abdul Muthalib juga dipanggil menemui Illahi.
Abdul Mutalib dikurniakan usia yang panjang, sehingga dikatakan bahawa beliau meninggal dunia ketika berusia 120 tahun.  Beliau meninggal dunia ketika Muhammad saw hampir berusia lapan tahun.  Sebelum kematiannya,  beliau telah menyerahkan tanggungjawab memelihara cucundanya, Muhammad saw kepada bapa saudara baginda sebelah bapa, iaitu Abu Thalib.
Abu Thalib menunaikan tanggungjawab memelihara anak saudaranya, Muhammad saw dengan sebaik-baiknya. Baginda tinggal dan bergaul dengan anak-anak Abu Thalib.  Baginda membesar di dalam rumah Abu Talib sehingga  Baginda meningkat dewasa , matang dan memahami keadaan sekeliling. Ketika berusia 13 tahun baginda pergi mengikut Abu Thalib pergi berniaga ke Syam.
Pengalaman demi pengalaman hidup di alam kanak-kanak yang baginda lalui sejak dari dalam kandungan ibunda lagi. Asal usul dan sirah kelahirannya amat jelas. Berbanding dengan ramai tokoh-tokoh agama lain, asal-usul  mereka biasanya tidak diketahui umum selengkap kita  mengenal  Nabi  Muhammad saw.
Kemuliaan keturunan tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada lelaki yang gagal. Seperti besi, apabila dibiarkan berkarat, ia tidak berguna lagi. Tetapi jika besi itu berada ditangan pereka yang mahir, ia boleh menghasilkan pelbagai rekaan.
Kelahiran Nabi saw dalam keluarga yang mempunyai kedudukan yang hebat merupakan sebahagian daripada faktor kejayaan yang Allah sediakan untuk risalah Baginda.
Ada riwayat yang menyebut  bahawa beberapa petanda perutusan Nabi saw telah berlaku ketika kelahiran Baginda. Di mana 14 balkoni istana Kisra telah runtuh. Api yang disembah oleh puak Majusi telah padam. Gereja-gereja di sekitar  tasik Sawah  telah runtuh setelah tasik itu kering.
Namun Syeikh  Muhammad Al Ghazali dalam kitabnya Fiqh Sirah mengatakan ungkapan tersebut adalah tidak benar.
Allah yang mengutuskan Nabi Muhammad saw sebagai Nabi terakhir telah memelihara kehidupan baginda dari segala kehinaan dan keburukan yang menjadi budaya amalan Arab jahiliyyah. Dari sudut sifat baginda sebagai seorang manusia, Baginda berasa lapar, kenyang, sakit, letih, rehat, sedih dan gembira. Baginda seorang yang berjiwa kental mampu memikul beban-beban kehidupan, susah payah jihad dan perit getir hidup, dalam keadaan teguh dan berani.
Sirah Nabi Muhammad saw bukanlah semata-mata kisah yang dibaca pada hari keputeraan. Bukan juga sekadar disebut-sebut dalam pelbagai selawat yang direka-reka. Bukan juga sekadar pesona cinta yang dipendam dan luahkan melalui susunan bait-bait sajak pujian kepada Baginda . Demikian juga menggerakkan lidah sehari semalam dengan seribu selawat tidaklah memberi makna kepada mana-mana Muslim yang Rasululullah saw  tidak hidup di dalam hatinya dan dia tidak mengikuti petunjuk Baginda saw dalam amalan dan pemikirannya.
Ingatlah, alangkah murahnya kasih sayang jika ia hanya sekadar kata-kata! Alangkah mahalnya kasih sayang itu jika ia berbentuk ikutan, kepatuhan dan janji setia.
Rasulullah saw  merupakan penghubung manusia dengan Allah. Apabila iman kepada Allah melekat di hati, sempurnalah tugas baginda sebagai Rasul. Tugas Rasul menghubungkan akal dan hati manusia dengan Penciptanya  dan menjelaskan jalan yang lurus kepada mereka.  Selepas itu, setiap manusia hendaklah memikul akibatnya dalam melakukan perbuatan baik dan buruk.
Rasul bukan orang tengah yang akan memikul untukmu kebaikan yang telah kamu lakukan, Rasul bukan juga ‘kambing hitam’ yang akan menanggung untukmu balasan buruk yang berhak dikenakan ke atasmu.
Samada Rasulullah saw masih ada atau sudah wafat tidak akan mengurangkan hakikat perutusan baginda sedikit pun. Baginda juga tidak diutuskan untuk menghimpun manusia di sekeliling namanya, sama ada sedikit atau ramai. Tetapi baginda diutuskan sebagai pemberi  peringatan dan berita gembira.
Tugas Nabi Muhammad juga bukanlah untuk menarik kamu dengan tali syurga. Sesungguhnya tugas baginda saw ialah mencampakkan ke dalam sanubari kamu penglihatan, yang dengannya kamu boleh melihat kebenaran.
Semoga dengan menyelusuri sirah kelahiran Baginda saw akan memberi keinginan yang lebih teruja untuk kita mengenalinya dengan lebih mendalam. Seterusnya memahami tugas baginda sebagai Rasul. Menghayati ajarannya tentang agama Islam yang syumul. Akhir sekali menuruti jejak langkahnya dari sudut kepimpinan dan dakwah, mengajak manusia keluar dari kegelapan kepada cahaya kebenaran.
WALLAHU A’LAM.  SALAM MAULIDUR RASUL.

 

Design by Adam Izzuddin ©| Best View: Google Chrome