Saturday, July 21, 2012

Ramadan Tiba Lagi

Ramadan kali ini menyapa lagi, saban tahun apabila tibanya Ramadan maka menjadi kewajiban bagi umat Islam berpuasa. Erti puasa dari segi bahasa ditakrifkan sebagai menahan diri, manakala dari segi istilah menahan diri dari makan dan minum, serta melakukan maksiat bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari.

Semuanya pasti sudah mengetahui akan erti puasa tersebut, tetapi tidak cukup sekadar mengetahui erti sahaja, tanpa juga mengetahui mengapa umat islam diwajibkan berpuasa, serta kelebihan dan fadhilat bulan Ramadan.

Mengapa perlu berpuasa?

Kenapa umat Islam perlu berpuasa setiap kali tibanya Ramadan? Persoalan ini selalunya bermain di minda kita. Lebih-lebih lagi ketika umur masih di peringkat kanak-kanak. Banyak persoalan tentang puasa terkumpul di minda. Jika dilihat puasa bagi agama yang lain hanya dilakukan pada waktu malam, tetapi mengapa islam dilakukan pada waktu siang? Jika agama lain berpuasa hanya tidak boleh makan benda yang berdarah dan hanya memakan sayur sahaja, tetapi mengapa islam tidak pula boleh makan kesemuanya? Hattakan minum air pun tidak boleh. Jikalau begitu di mana pula dikatakan islam itu agama yang mudah?.

Sesungguhnya Islam itu agama yang cukup sempurna. Tiada kurangnya walau sedikitpun. Segala persoalan tentang ibadah, muamalat, kehidupan semuanya terjawab di dalam buku panduan pertama, kitab Al-quran yang mulia. Allah SWT telah berfirman: -

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" - (Surah Al-Baqarah ayat 183)

Jelaslah menunjukkan bahawa Allah mewajibkan umat islam berpuasa dengan menujukan ayat tersebut khusus kepada orang-orang yang beriman. Maka, siapa lagi kalau bukan kita sebagai umat islam, yang menyakini Allah sebagai Ilah dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul-Nya. Dengan berpuasa, bererti kita telah menunaikan kewajipan kita sebagai umat Islam, yang mana salah satu dari rukun Islam itu sendiri adalah dengan menunaikan puasa di bulan Ramadan.

Sesungguhnya puasa ini telah difardhukan sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW lagi. Ianya telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu. Ini dijelaskan di dalam Al-Quran sepertimana yang terkandung di dalam ayat di atas. Antaranya perintah melaksanakan puasa bagi umat Nabi Musa dan Nabi Isa sepertimana yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubiy di dalam kitabnya[i]

Puasa yang dijalankan oleh Nabi Musa dan umatnya jauh lebih berat daripada puasa nabi Muhammad SAW dan umatnya. Mereka diwajibkan berpuasa selama 40 hari 40 malam. Dalam Kitab Perjanjian Lama, puasa Nabi Musa merupakan orang yang mula-mula berpuasa bagi umat Nabi Isa kerana jenis puasanya juga sama. Bahkan, Nabi Musa berpuasa di Gunung Sinai ketika mendapatkan perintah ALLAH SWT.

Manakala menurut tafsiran Al-Qurtubiy sepertimana di dalam kitabnya mentafsirkan ayat ini adalah pensyari'atan puasa selama sebulan kepada umat Nabi Musa dan Nabi Isa 'Alahumassalam. Tetapi umat para nabi tersebut iaitu Bani Israel telah mengubah dengan menambah sepuluh hari, kemudian mereka menambahnya lagi selama sepuluh hari sebagai tanda membayar nazar pendita yang telah sembuh daripada sakit. Maka menjadilah puasa orang-orang Nasrani kepada lima puluh hari.

Selain itu, ianya juga telah dilakukan oleh Nabi Daud a.s sendiri di mana baginda menunaikan puasa dengan berselang-seli sepertimana diriwayatkan daripada Abdullah ibn 'Amr r.a. katanya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

"Sesungguhnya puasa yang paling disukai Allah ialah puasa (Nabi) Daud dan solat yang paling Allah sukai ialah solat Daud (a.s). Beliau tidur pada separuh malam, berqiamullail pada sepertiga malam dan tidur (semula) pada seperenam malam. Beliau berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari (yang lain pula".(Hadis riwayat Muslim)

Puasa juga merupakan satu tarbiah menguji keimanan kita kepada Allah SWT agar menjadi seorang yang bertaqwa. Dengan berpuasa dapat melatih diri kita menjadi seorang yang sabar dalam menahan diri khususnya dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT. Justeru dengan meninggalkan kemungkaran diiringi dengan melakukan ibadah wajib dan menggandakan amalan-amalan sunat dapat meningkatkan iman dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Kelebihan Di Bulan Ramadan

Bulan Ramadan diibaratkan sebuah madrasah. Didalamnya penuh dengan tarbiyah dan ibadah. Saat itulah seluruh umat Islam berlumba-lumba mendapatkan kelebihan yang ada padanya. Bahkan ada juga yang mengibaratkan bulan Ramadan umpama sebuah karnival. Karnival ibadah!

Di antara keistimewaan dan kelebihan yang terdapat di dalam bulan Ramadan antaranya Allah SWT meningkatkan ganjaran pahala bagi mereka yang melakukan amal ibadat kepada-NYA. Padanya juga turunnya Al-quran serta terjadinya malam Lailatul Qadar dan dicatatkan sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu 10 terakhir di bulan Ramadan.

Firman Allah yang bermaksud :-

"Bulan Ramadhan (ialah bulan yang sungguh mulia lagi berkat), yang padanya diturunkan Al-Qur'an .. ".(Surah Al-Baqarah ayat 185)

FirmanNya lagi :-

"Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.".(Surah Al-Qadr ayat 3)

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya :-

"Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati Allah. Tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya digandakan pahalanya.".(Hadis riwayat Tirmizi dan Nasai)

Selain itu, pada bulan Ramadan syaitan dibelenggu sementara pintu nereka di tutup serapat-rapatnya manakala pintu syurga di buka seluas-luasnya sepertimana sabda baginda SAW yang bermaksud:-

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:-

"Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)".(Hadis riwayat Sahih Bukhari)

Dengan berpuasa juga, memberi kesihatan kepada badan kita di mana keseimbangan badan akan terkawal. Sistem urat saraf di dalam tubuh badan kita akan dapat berehat seketika dari melakukan kerja penghadaman makanan yang tanpa henti. Apabila ianya mendapat kerehatan menyebabkan perairan darah dan sistem urat saraf berfungsi dengan baik dan berjalan lancar. Analoginya, sebuah mesin akan mudah rosak apabila sering digunakan tanpa henti. Begitu jugala sistem penghadaman di dalam badan kita.

Persediaan Menghadapi Ramadan

Pertamanya niat kita perlu diperbetulkan dahulu, kerana dalam menghadapi Ramadan kali ini seharusnya nawaitu kita semata-mata kerana Allah SWT, bukan melakukan untuk menunjuk-nujuk serta melakukannya asbab dipaksa oleh sesiapa. Niat yang ikhlas kerana Allah SWT agar menjadikan Ramadan ini sebagai satu peluang untuk kita mengisi sepenuhnya makanan kerohanian di dalam diri kita dalam meraihkan seruan Allah SWT, "fastabiqul khairat" yang bermaksud "Maka berlumba-lumbalah kamu di dalam mengerjakan kebaikan.

Berazam untuk meningkatkan amal ibadat juga adalah penting. Bukan hanya berniat semata-mata tetapi perlulah diiringi dengan azam dan perlulah dibuktikan dengan tindakan. Sesungguhnya dengan adanya keazaman dapat melahirkan semangat untuk kita sentiasa istiqamah dalam melakukan amal ibadah kepada Allah SWT.

Kesihatan tubuh badan, juga perlu di ambil kira samada kesihatan pada fizikal mahupun mental. Jika menghadapi Ramadan dalam keadaan diri kurang sihat ianya menyukarkan usaha kita untuk melakukan ibadah puasa. Perlu dijaga kesihatan agar Ramadan dapat dinikmati dengan penuh kesempurnaan dan keselesaan untuk menunaikan amal ibadat.

Bersederhana dalam semua perkara. Kesederhanaan menghadapi Ramadan adalah amat dituntut dalam Islam agar terhindar daripada sifat yang berlebih-lebihan dan pembaziran. Sebagai contoh, selalunya kita terlupa apabila tiba waktu berbuka puasa, juadah lauk pauk terlalu banyak jenis aneka yang tersedia, sedangkan tidak semua makanan dapat dihabiskan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran.

Perkara ini tidak boleh dinafikan sama sekali, apatah lagi untuk menidakkannya. Kerana secara umumnya jika masyarakat di Malaysia, selalunya apabila pergi ke bazar Ramadan sentiasa akan rambang mata melihat kepelbagaian jenis masakkan juadah berbuka. Sehingga diborongnya terlalu banyak melebihi keperluan. Bahkan paling menyedihkan, ada makanan yang menjadi sisa buangan pada keesokan harinya. Basi tanpa sempat dihabiskan pada malamnya lantaran terlalu banyak juadah yang telah menjadi santapan.

Firman Allah SWT yang berbunyi :-

"إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا""Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara Syaitan, sedangkan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya" - (Surah Al- Isra' ayat 27).

Sesungguhnya Allah SWT menyerupakan seseorang yang membazir itu dengan menjadi saudara syaitan. Pepatah melayu juga menyatakan, "melebihi ancak-ancak, mengurangi sia-sia" ertinya dalam melakukan sesuatu perkara hendaklah ia bersederhana supaya selamat. Ancak-ancak pula bererti tidak peduli baik buruknya. Justeru, kesederhanaan (wasatiah) itu penting dalam menghadapi Ramadan kali ini agar dapat mengawal nafsu dalam diri.

Ramadan Telah Tiba

Terasa keharuman Ramadan kali ini. Semoga peluang yang Allah berikan ini dapat akan digunakan sebaiknya. Sama-sama kita renungi Ramadan yang lalu bagaimanakah persiapan kita? Adakah Ramadan kali ini persiapan kita serupa ataupun berbeza?

Jangan difikirkan apa yang hendak di makan saat berbuka? Tetapi fikirkan apa yang mahu dilakukan ibadah apa yang akan ditunaikan. Amalan apa yang akan digandakan? Bulan yang penuh dengan kelebihan serta bulan keampunan, adakah bakal kita hadapi dengan gelak tawa dan beranggapan ianya serupa hari-hari biasa? Tepuk dada tanyalah iman!

Sebagai hamba yang beriman, tanamkanlah azam agar kedatangan Ramadan kali ini lebih bermakna dari Ramadan sebelumnya. Lebih indah dari Ramadan yang lalu dan membawa momentum perubahan yang besar pada diri. Memberi natijah yang hasanah pada jiwa kita dalam meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Mudah-mudahan ianya menjadi latihan transformasi dalam diri, serta tetap istiqamah dalam menghadapi mujahadatun nafs agar amalan yang dilakukan secara berlipat ganda di bulan Ramadan akan diteruskan pada bulan-bulan yang lain. Tidak semata-mata hanya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja.


p/s:sumber drpd iluvislam.com

Wednesday, July 4, 2012

Hukum Puasa, Solat & Doa Pada Nisfu Sya’ban



Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali Jum'ah.
Apa hukum melakukan solat dan doa pada malam nisfu Sya'ban seterusnya berpuasa pada siang harinya?

Jawapan :

Malam nisfu Sya'ban merupakan malam yang barakah. Terdapat sebilangan besar dalil yang menyebut tentang kelebihan malam nisfu Sya'ban daripada hadis-hadis (Nabi S.A.W) yang saling menguatkan antara satu sama lain serta mengangkat (hadis-hadis tersebut) ke darjat Hadis Hasan dan Kuat (dari segi hukumnya).

Maka mengambil berat terhadap malam nisfu Sya'ban serta menghidupkan malamnya adalah sebahagian daripada agama yang tiada keraguan padanya. Adapun keraguan yang timbul adalah disebabkan pandangan terhadap hadis-hadis yang barangkali hukumnya Dhaif yang menceritakan tentang kelebihan malam tersebut.

Antara hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihannya :

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : "فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ :يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ :قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ" - رواه الترميذي وابن ماجه وأحمد .
Hadis daripada Ummul Mukminin Sayidatina 'Aisyah R.A telah berkata : "Aku telah kehilangan nabi S.A.W pada suatu malam, maka aku telah keluar untuk mendapatinya maka baginda berada (sedang berdiri di kawasan perkuburan) Baqi' sambil mendongakkan kepalanya ke langit. lalu baginda berkata : Wahai 'Aisyah, adakah kamu takut Allah dan Rasulnya melakukan kezaliman ke atas kamu? Berkata 'Aisyah : Bukan demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah pergi kepada sebahagian daripada isteri-isteri kamu (atas perkara-perkara yang mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian). Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya Allah Ta'ala telah turunkan (malaikatNya dengan perintahNya) pada malam nisfu Sya'ban ke langit dunia, lalu Allah mengampunkan dosa-doa (yang dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb."
[Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.]

Seterusnya,

عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ " - رواه الطبرانى وصححه ابن حبان .
Hadis daripada Saidina Mu'adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi S.A.W telah bersabda :"Allah memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada malam nisfu Sya'ban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhlukNya melainkan dosa orang musyrik (yang menyekutukan Allah) dan dosa orang yang bermusuhan."
[Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.]

Seterusnya,

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ" - رواه ابن ماجه .
Hadis daripada Saidina 'Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Apabila masuk malam nisfu Sya'ban, maka hendaklah kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Ta'ala menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang demikian...sesiapa yang demikian ...sehinggalah terbitnya fajar."
[Riwayat Ibnu Majah]

Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini kerana termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara berkaitan dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan sebahagian daripada tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian daripada amalan soleh secara berterusan adalah termasuk dalam perkara yang disyariatkan selagi mana seseorang yang melakukan amalan tersebut tidak beri'tiqod (menjadikannya sebagai pegangan) ; bahawa perkara tersebut adalah wajib di sisi syara' yang membawa hukum berdosa sekiranya meninggalkannya.

Hadis daripada Ibnu Umar R.A telah berkata :

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : "كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبً" - متفق عليه .
"Nabi S.A.W akan mendatangi masjid Quba pada setiap hari Sabtu
samada dengan berjalan ataupun menaiki tunggangan."
[Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.]

Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari) :

"Di dalam hadis ini walaupun berbeza jalan-jalan pengriwayatannya menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan sebahagian hari-hari untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan soleh serta melakukannya secara berterusan." -tamat


Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif Al-Ma'arif) :

"Ulama' di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam nisfu Sya'ban kepada dua pandangan.

Pertamanya :

Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.

Khalid ibn Ma'dan dan Luqman ibn 'Amir dan selain daripada mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.

Dan Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan ibadah di masjid secara berjamaah : "Perkara tersebut tidaklah menjadi bid'ah." Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab Masail nya.

Keduanya :

Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan 'Alim." -tamat

Kesimpulannya :

Maka menghidupkan malam nisfu Sya'ban sama ada secara berjamaah ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah menjadi bid'ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.

Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain serta menghukum kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa maka menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid'ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. Inilah makna yang menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para salafussoleh terhadap hukum makruh dalam menghidupkan malam nisfu Sya'ban. Adapun menghidupkan malamnya sebagaimana hakikat asalnya maka perkara tersebut adalah disyariatkan dan tidaklah menjadi makruh.

Oleh itu, digalakkan menghidupkan malamnya dengan ibadah dan siangnya dengan puasa.






 

Design by Adam Izzuddin ©| Best View: Google Chrome