Friday, July 29, 2011

UMAR UBN KHATTAB:pemimpin berjiwa rakyat

Sudah menjadi kebiasaan Umar ibn Khattab, di waktu malam beliau akan meronda keliling kota dan kampung untuk melihat secara langsung keadaan rakyatnya.

Suatu malam, Umar mendengar tangisan kanak-kanak dari sebuah pondok yang sangat sederhana. Lalu Umar menghampiri pondok tersebut dan mencuba untuk melihat apa yang terjadi.

Beliau mendengar ibu kanak-kanak tersebut seperti sedang memasak sesuatu.

Kanak-kanak tersebut yang awalnya menangis, sayup-sayup berhenti melihat ibunya sedang memasak. Namun masakannya tidak masak-masak sehingga anaknya itu tertidur dalam kelaparan.

Melihat keadaan yang menyayat hati itu, Umar memberi salam dan meminta izin untuk masuk. Wanita itu mempersilakan tetamunya untuk masuk tanpa dia mengetahui bahawa tetamu itu adalah Khalifah Umar ibn Khattab.

Umar bertanya tentang kehidupan wanita itu. Wanita itu mengadu bahawa dia dan anaknya sudah berhari-hari tidak makan. Apabila anaknya menangis ingin makanan, dia pura-pura memasak dengan memasukkan beberapa biji batu ke dalam periuk. Melihat keadaan itu, anaknya diam sebentar kerana menyangka ibunya memasak sesuatu.

Wanita itu mengadu dan mengutuk Khalifah Umar kerana tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Mendengar kutukan wanita itu, Umar terdiam sejenak. Kemudian, dia memohon diri meninggalkan pondok wanita itu.

Dalam kegelapan malam, Umar berjalan menuju ke Baitul Mal (tempat menyimpan kekayaan negara) lalu beliau mengambil sendiri beberapa karung gandum dan dipikulnya untuk dihantarkan ke pondok wanita itu.

Salah seorang pekerja bawahannya yang melihat beliau memikul karung gandum itu cuba meminta Umar untuk menyerahkan karung itu untuk dibawakan. Namun Umar berkata, "Mahukah engkau nanti memikul dosa-dosaku di akhirat?" Mendengar perkataan Umar, lelaki itu tidak berani untuk membantu sang khalifah.

Sampai di pondok wanita itu, Umar memberi salam dan masuk ke rumahnya untuk yang kedua kali. Beliau mengambil sedikit gandum dari karung tadi lalu terus memasakkan untuk wanita dan anaknya.

Wanita itu masih belum sedar bahawa orang yang datang membawa gandum dan memasak untuk mereka itu ialah khalifahnya sendiri. Setelah siap, Umar sendiri menghidangkan makanan untuk wanita dan anaknya. Mereka makan dengan penuh kebahagiaan.

Melihat mereka gembira, Umar merasa amat senang. Lalu dari mulut wanita tersebut berkata. "Kalaulah Sayyidina Umar berbuat begini, alangkah baiknya..," kata wanita itu tanpa menyedari orang yang berada di hadapannya adalah Sayyidina Umar sendiri.

Masih adakah pemimpin seperti ini sekarang? Pemimpin yang sanggup meronda seorang diri pada waktu malam untuk mendengar sendiri keluh-kesah rakyatnya, yang sanggup memikul karung gandum dan memasak sendiri untuk rakyatnya.

Beliau adalah salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W yang berani, tegas dan kental. Sebelum masuk Islam, beliau adalah orang yang paling kuat menentang Muhammad S.A.W tetapi selepas memeluk Islam, beliau menjadi salah seorang pembela Nabi Muhammad S.A.W.

Renung-renungkanlah wahai saudara-saudaraku...

Wallahualam...

No comments:

 

Design by Adam Izzuddin ©| Best View: Google Chrome