Friday, November 9, 2012

Munajat Hamba Meraih Cinta


Bismillahirrahmanirrahim.. Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi.
Di saat ini, aku meninggalkan bantal yang empuk dan katil yang tersergam kemasnya. Aku berkorban untuk merasai semua itu kerana aku menantikan sesuatu perkara yang lebih indah dan menenangkan hati.
Di saat manusia lain lena dibuai mimpi, aku tidak dapat melelapkan mata. Sangat rugi jika aku tidak merebut peluang ini. Alhamdulillah, Allah beriku kekuatan agar tidak mudah termakan dengan godaan syaitan.
Aku melangkah menuju ke bilik air yang berdekatan. Wudhuk ku ratakan dan sempurnakan. Hanya untuk Mu Ya Allah. Aku ingin sentiasa berada di sampingMu kerana aku mahu mengingatinya walau apa juga keadaan dan situasiku. Samada suka dan duka, aku ingin Allah sentiasa bersamaku. Dan aku pasti, Allah tetap tidak pernah sesaat pun jauh dari hamba-hambaNya.
Aku tidak mahu lalai dalam menikmati keindahan dunia ini. Dari pagi, petang dan kini malam silih berganti. Aku gagahkan diri.
Jam menunjukkan tepat 3.30 pagi. Inilah yang ku tunggu-tunggu. Bersedia untuk menghamparkan tikar sejadah untuk tawajuh cinta. Melihat telekung sembahyangku. Alangkah baiknya aku tidak membiarkan telekung itu menjadi perhiasan dibilikku sahaja dan kini aku memakainya untuk semata-mata ingin memenuhi pengharapanku dan kerinduanku.
Ya Ilahi, aku ingin merebut kesempatan ini. Engkau telah memudahkan hatiku ini untuk bertahajud di pertiga malam.Sesungguhnya, tiada sedikit kekuatan pun dariku melainkan segalanya adalah dariMu. Tidak aku duduk bertafakkur menghadapMu tanpa Engkau yang mengizinkannya.  
Sungguhn ya Allah, Engkau telah membuka hatiku untuk sentiasa bertaubat kepadaMu. Engkau telah menyedarkanku tentang keindahan beribadat di kala manusia lain sedang tidur dan aku bangun gagah berdiri untuk menikmati keindahan dan ketenangan dari Tuhan Yang Esa. Alhamdulillah ya Allah, kenikmatan beribadah itu dapat ku rasainya hanya dengan kerahmatanMu dan sedikit pun bukan kerana diriku.
Di dalam solatku, tidak dapat aku ungkapkan dengan kata-kata betapa bersyukurnya aku dengan rahmatMu Ya Allah.
Di dalam doaku, aku merintih mengharapkan penerimaan Mu. Aku merintih dan merayu denganMu Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku. Kasihanilah umi ayahku sebagaimana mereka mengasihaniku sejak dari kecil lagi. Airmataku semakin bercucuran membasahi pipi. Tidak dapat aku menahannya. Aku membiarkan saja ia mengalir membasahi pipi dan telekung sembahyang.
Inilah kesedaran yang Allah campakkan di dalam hatiku ini. Selalu saja ingin bermunajat kepadaMu. Selalu saja ingin merebut saat dan ketika ini. Saat yang mana sangat sepi. Tiada sebarang bunyi. Saat yang menyenangkan. Saat yang sangat makbul doa seorang hamba. Saat yang sangat dekat dengan Allah SWT. Terasa diri ini sahaja yang hidup ketika ini. Terasa kesunyian.

Namun hakikatnya
Aku tidak sendirian kerana aku ada Allah yang Maha Melihat setiap gerak geriku.
Aku ada Allah yang Maha Mendengar setiap doaku dan rintihanku.
Aku ada Allah yang Maha Mengetahui isi hatiku yang sangat aku dambakan.
Aku ada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Itulah yang lebih meyakinkanku.
Alhamdulillah.
Ya Allah.. saat ini juga, berikanlah aku kekuatan, agar dapat ku menyebarkan indahnya saat-saat bersamaMu. Ingin ku khabarkan kepada sahabat-sahabatku, betapa berjanji cinta dan rindu denganMu lebih membahagiakan. Sebagai hamba yang penuh kelemahan, segalanya dapat ku luahkan. Dan, dengan itulah aku merasa adanya kekuatan... Benarlah, sedikit pun tiada dayaku melainkan zatMu ya Allah. Sungguh, Engkaulah yang Maha Pekara dan Maha Mendengar.
Ya Allah, bagaimana untuk ku menyatakan keinginanku untuk mengajak sahabat-sahabat ku yang lain bersamaku. Sedangkan, aku bimbang ya Allah... Jika, aku luahkan segala keindahan bersamaMu di setiap sepertiga malam akan ada rasa yang kurang enak di pendengaran mereka yang mendengar.
Allah.... lemahnya iman ini ya Rahman. Merasa bimbang dengan apa yang disangka-sangka oleh mereka terhadapku. Astaghfirullah ya Allah, bukankah aku juga ketika ini bersangka-sangka  kepada mereka? 
Ya, Allah... berikanlah ku kekuatan, agar dapat aku mengajak sahabat-sahabatku, malah ahli keluarga ku untuk turut sama bermunajat kepadaMu. Berikan lah aku kemudahan, lembutkanlah hati orang yang mendengar akan kalamku, agar ringan hati mereka menyambut huluran kasihku membawa mereka sama-sama merasai keindahan bertemuMu... 
Semoga semakin ramai yang berjanji temu denganMu, semoga semakin ramai yang mengamalkan tahajjud sunnah baginda yang mulia. Semoga semakin ramai yang mengikuti jejak Al-Fatih, menghidupkan malam dengan ibadah yang berterusan. 
"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. [1] Wahai orang yang berselimut!. [2] Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), [3] Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, [4] Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".[5] (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). [6] Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya. "
(Surah al-Muzammil ayat 1-6)

No comments:

 

Design by Adam Izzuddin ©| Best View: Google Chrome